Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembangkang kini berada dalam keadaan keluh kesah apabila setiap serangan mereka dijawab menerusi fakta meyakinkan sekali gus menggagalkan usa­ha mereka untuk mengelirukan rakyat.

“Mereka sampai tak tahu nak kata apa dah kerana apabila serang Najib berkaitan ekonomi, Bank Negara Malaysia (BNM) umum pertumbuhan 5.8 peratus bagi suku kedua 2017. Hendak serang tentang pelaburan dengan China, tak ada masalah langsung untuk pelabur China ke sini.

“Mereka tekan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk takutkan pelabur tetapi syarikat multinasional terus datang ke pelbagai tempat terutama di Pulau Pinang, Johor dan Selangor dengan pelaburan tinggi. Di­sebabkan kehabisan modal, maka mereka lakukan pula serangan berkaitan pertemuan Najib dan Trump,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Taklimat Pemantapan Pengurusan Jalinan Rakyat (JR) dan JR Plus menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-114) di Kolej Mara Kuala Nerang di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, tuduhan pembangkang terhadap pertemuan tersebut yang kononnya diadakan secara tidak rasmi gagal dibuat secara meyakinkan kerana Trump jelas amat menghargai kunjungan Najib serta dele­gasi negara.

“Media-media antarabangsa turut melaporkan mengenai pertemuan kedua-dua pemimpin itu dengan Trump selaku presiden kepada sebuah kuasa besar dunia mengiktiraf Malaysia dari segi ekonomi lalu mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri.

“Alhamdulillah, segalanya nampak teratur. Hakikatnya Perdana Menteri kali ini sekali lagi berjaya mengatasi serangan pembangkang sekali gus membuat mereka terus gundah gulana,” katanya.

Terdahulu ketika berucap dalam majlis tersebut, Mahdzir mahu setiap ahli parti menerapkan mentaliti kemenangan menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Kalau kita sentiasa fikirkan kemenangan, insya-Allah kita akan berusaha kuat untuk mencapainya. Tetapi kalau sejak dari awal lagi tidak yakin untuk menang sebaliknya berfikir akan kalah, perkara itu hanya akan membuatkan kita bersikap sambil lewa dan tidak akan bersungguh-sungguh,” katanya.