Lima resolusi itu dibentangkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli semasa Konvensyen Warga Felda 2017 yang dianjurkan pakatan pembangkang di Dewan Jubli Perak, Kompleks Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Antara resolusi itu, Rafizi menyatakan, pakatan pembangkang mahu mengukuhkan pe­ngurusan dan tata kelola Felda, meringankan kos sara hidup dan hutang warga Felda, mewujudkan mekanisme berkongsi tanah warisan, membangunkan bandar Felda dan menubuhkan universiti Felda.

Sementara itu, konvensyen tersebut turut menjadi medan pemimpin pakatan pembangkang melemparkan tohmahan terhadap kerajaan apabila Presiden PAN, Mohamad Sabu cuba me­ngaitkan dakwaan rasuah serta salah­ guna membabitkan Felda selain menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertindak sebagai Peguam Negara.

“Kalau kita buat laporan, memang betul Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan siasat, tapi yang menentukan dibawa ke mahkamah atau tidak ialah Peguam Negara dan Peguam Negara ialah Najib Tun Razak,” katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula mengambil kesempatan da­lam konvensyen itu menuduh kerajaan mengamalkan kleptokrasi dengan mengaitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun ironinya, di luar konvensyen itu generasi baharu Felda berkumpul mengadakan demonstrasi membantah penganjuran program tersebut pagi ini.

Bantahan kira-kira 30 orang itu yang diketuai oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) generasi baharu Felda, Datuk Amizar Abu Adam itu dibuat sebagai tanda penolakan mereka terhadap tindakan pakatan pembangkang yang cuba campur tangan dalam pengurusan Felda termasuk menggunakan nama agensi itu untuk menyebarkan fitnah kepada para pe­neroka.

“Hasrat kami datang menga­dakan perhimpunan ini adalah untuk memberi isyarat kepada pakatan pembangkang supaya hentikan retorik politik. Jangan bercakap dan membuat fitnah kerana pengurusan Felda yang ada ketika ini menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Kalau ada ruang penambahbaikan Felda kita perbetulkan dengan jalan yang baik, bukannya menyebarkan fitnah dan menjatuhkan Felda,” ujarnya yang juga aktivis Felda Chemomoi, Pahang.