Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, Malaysia telah melangkah maju setapak demi setapak dalam setiap sudut pembangunan.

“Sepanjang tempoh itu, banyak berita baik dan positif mengenai Malaysia yang telah dipaparkan di halaman surat khabar dan majalah, baik tempatan mahupun luar negara. Tetapi malangnya, ada dalam kalangan rakyat terutama pembangkang memilih untuk tidak nampak atau buat-buat tidak nampak semua berita baik ini ha­nya kerana bertentangan dengan naratif mereka bahawa Malaysia adalah negara yang gagal.

“Ini bukan sahaja menunjukkan betapa pembangkang memandang rendah tentang keupa­yaan negara dan rakyatnya tetapi juga menunjukkan rendahnya jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia. Di manakah rasa cintamu kepada Negaraku?” soalnya menerusi laman blog NajibRazak.com hari ini.

Dalam catatan blog beliau, Perdana Menteri turut berkongsi beberapa berita positif mengenai Malaysia yang menjadi tajuk utama di kebanyakan surat khabar dan majalah antaranya Ekonomi Malaysia suku keempat 2016 atasi jangkaan (Berita Harian); Langkah baharu BNM dijangka lonjakkan ringgit (New Straits Times); Universiti Malaya berada di ran­king 100 universiti terbaik Asia 2017 (Bernama); 11 subjek di universiti tempatan disenaraikan 50 terbaik dunia (New Straits Times).

Yang turut dikongsi juga adalah Malaysia negara terbaik untuk pelaburan 2017 (U.S News & World Report); Khidmat kesihatan Malaysia ketiga terbaik dunia (International Living Magazine); Malaysia dijangka peroleh KDNK ke-25 terbesar dunia menjelang 2030 (PriceWaterhouse Coopers) dan Malaysia antara 10 ekonomi paling pesat berkembang di dunia (The Economist).

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, banyak perkara positif yang juga boleh dibanggakan sebagai rakyat Malaysia dalam pelbagai perkara antaranya sama ada dari segi ekonomi atau pendidikan.