Melalui syarat yang dikemukakan, para pemandu perlu mematuhi syarat modul PSV selama enam jam dengan yuran sebanyak RM200 untuk melayakkan diri sebagai pemandu e-hailing yang sah.

Menurut wakil pemandu, Mohd. Fazli Ramli, 41, ini kerana ada pusat latihan memandu mengenakan caj iaitu sebanyak RM80 di Tanjung Malim manakala RM130 di Kuala Lumpur.

Katanya, kerajaan seharusnya menyediakan garis panduan yang jelas secepat mungkin untuk membolehkan pemandu e-hailing mendapatkan lesen PSV.

Beliau juga mempersoalkan tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum tarikh akhir 12 Julai ini bagi melengkapkan proses berkenaan perlu dilanjutkan.

“Kita menyokong arahan ini cuma mahu prosesnya dipermudahkan dengan kos yang berpatutan. Ini kerana tiada jaminan pemandu lulus ujian PSV walaupun setelah menyempurnakan semua prosedur ditetapkan termasuk melakukan pemeriksaan kesihatan, insurans dan menghantar kenderaan bagi pemeriksaan di Puspakom.

“Kesemua proses ini melibatkan kos kira-kira RM800 yang perlu ditanggung sendiri sedangkan sebahagian besar daripada kami merupakan pemandu e-hailing sepenuh masa,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Fazli bersama kira-kira 60 orang pemandu e-hailing berkumpul di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini bagi menyuarakan keluhan dan menggesa kerajaan menyeragamkan caj serta memudahkan proses mendapatkan lesen PSV.

Keluhan turut disuarakan seorang pemandu, Cheng Shi Rao, 59, yang meminta soalan ujian PSV disediakan mengikut dwibahasa.

“Pihak berkenaan dicadang menyediakan kertas ujian dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai pilihan kepada pemandu,” katanya.

Sebelum ini, kerajana memutuskan pemandu atau bakal pemandu perkhidmatan e-hailing yang memenuhi syarat memohon PSV boleh mendaftar di Institut Memandu dan Pusat Latihan Memandu E-hailing Operator (EHO) yang diiktiraf oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 April ini. - UTUSAN ONLINE