Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, enam mahasiswa itu akan dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu sayap Pemuda, Puteri dan Persidangan Peringkat Nasional yang akan menyua­rakan pandangan anak muda dalam memacu perkemba­ngan negara menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Seperti Pemanas 4.0 yang lepas, pembahas memberi pan­dangan berkenaan tempoh diskaun pembayaran ba­lik pinjaman Perbadanan Tabung Pendi­dikan Tinggi Nasional (PTPN) selama enam bulan yang dianggap memberi tekanan kepada para graduan yang sukar mendapat kerja.

“Pandangan itu mendapat maklum balas daripada kerajaan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tempoh lanjutan diskaun pembayaran balik kepada 12 bulan semasa membentangkan Bajet 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Pemanas 5.0 yang berlangsung di PWTC di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, Pemanas 5.0 kali ini akan membahaskan pandangan berhubung isu-isu semasa seperti politik, ekonomi, agama dan pendidikan.

“Selain itu, barisan anggota pentadbiran negara dalam kalangan menteri, timbalan menteri Kabinet serta pembuat dasar di pelbagai agensi dan ­organisasi akan turut hadir untuk membahaskan isu-isu ter­babit dengan lebih terperinci.

“Kita berharap semua mahasiswa yang terlibat ini akan menjadi barisan hadapan ke­rajaan dan jurucakap yang memberi pemahaman agenda pemerintah kepada rakyat,” katanya.