Adnan Yaakob

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, jawatan tersebut ditentukan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Terpulang kepada pihak istana untuk memilih calon yang difikirkan sesuai menjadi Menteri Besar.

“Begitu juga dengan pelantikan Exco (ahli majlis kerajaan negeri) yang akan ditentukan kemudian selepas pihak istana terlebih dahulu memilih Menteri Besar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Keputusan PRU-14 semalam menyaksikan BN Pahang kembali membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 25 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Nege­ri (DUN) yang dipertandingkan manakala PKR sembilan kerusi dan Pas lapan kerusi.

Sementara itu, Adnan yang juga Pengerusi UMNO negeri berterima kasih kepada pengundi yang sekali lagi memberi mandat kepada BN untuk mentadbir negeri ini.

“Terima kasih kepada pengundi-pengundi yang memilih BN negeri sehingga membolehkan kita mendapat majoriti mudah iaitu sebanyak 25 kerusi DUN.

“Kami melihat keputusan PRU-14 yang diperoleh BN Pahang agak baik berbanding beberapa BN ne­geri lain di mana ada yang kehilangan negeri. Meskipun menang dengan majoriti mudah tetapi masih besar iaitu dengan 25 kerusi berbanding 17 kerusi yang diperoleh PKR dan Pas,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan yang merupakan penyandang Menteri Besar sejak kira-kira 20 tahun lalu berkata, BN Pahang akan mengadakan perbincangan dan mela­kukan bedah siasat bagi melaksanakan mandat yang diberikan rakyat.