Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut juga bertentangan dengan janji Menteri Pendidikan itu sendiri yang sebelum ini memberikan jaminan institusi pendidikan akan bebas daripada politik.

"Jadi, penerimaan pelantikan ini hanyalah satu lagi bentuk keputusan yang terus menggambarkan kegagalan PH untuk berpegang kepada janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mereka dan menunjukkan sikap lidah bercabang YB Dr. Maszlee Malik.

"Kementerian Pendidikan dan UIAM merupakan dua buah organisasi yang sangat penting kepada negara. Kedua-duanya mempunyai reputasi, hala tuju dan fokus yang bukan sahaja kritikal dan besar tetapi berbeza," katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Hari ini Maszlee Malik sah dilantik sebagai Presiden UIAM yang ketujuh selama tiga tahun selepas diberi perkenan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat UIAM, pengurusan universiti berkenaan berpandangan, Maszlee adalah calon yang ideal untuk jawatan tersebut.

Ini kerana beliau merupakan seorang bekas pensyarah UIAM selain pernah mengetuai Persatuan Staf Akademik UIAM dalam memperjuangkan hak-hak dan menjamin kebajikan para pensyarah.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, UIAM mesti dipimpin dengan serius, berfokus dan bervisi agar dapat dilonjakkan sebagai sebuah universiti antarabangsa yang cemerlang dan memenuhi mandatnya.

Bekas Menteri Besar itu berkata, bukan sahaja kepada Malaysia tetapi kepada dunia Islam yang meletakkan harapan besar kepada UIAM.

"UIAM tidak boleh dikemudikan oleh seseorang yang tidak berupaya memberikan sepenuh masa dan fokus kepada perkembangan dan lonjakan prestasinya.

"Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan adalah sebuah kementerian yang kritikal, besar dan mempunyai tugas yang berat iaitu untuk memulih dan memperkasa pendidikan rendah, menengah dan tinggi di Malaysia," katanya. - UTUSAN ONLINE