Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelan yang akan dibentuk dalam tempoh sebulan itu akan menggariskan prinsip, objektif serta formula penyelesaian yang bakal dilaksanakan merangkumi pelbagai kementerian.

Katanya, sebuah jawatankuasa pemandu akan dibentuk untuk merangka pelan berkenaan yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bertindak sebagai sekretariat.

“Mesyuarat antara kementerian yang diadakan hari ini adalah untuk mewujudkan koordinasi serta menunjukkan kemahuan politik dan kesungguhan kita untuk menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi.

“Kita tidak boleh mendakwa diri kita sebagai masyarakat prihatin jika kita meminggirkan mereka yang memerlukan.

“Kita tidak boleh bercakap mengenai masa depan yang lebih baik sekiranya kira-kira satu daripada tiga atau satu daripada empat anak-anak kita hidup dalam kemiskinan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat antara kementerian yang turut disertai Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun serta wakil-wakil Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan. - UTUSAN ONLINE