Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan Pusat juga tidak akan membiayai penubuhan universiti baharu kerana kekangan kewangan dan unjuran perbelanjaan yang sangat besar.

Selain itu, menurutnya, Johor sudah menjadi penempatan pelbagai institusi pendidikan tinggi bukan sahaja antara yang terbaik di negara ini, tetapi terkemuka di dunia.

“Mengambil kira juga perkembangan ekonomi Malaysia yang perlahan dan kedatangan pelajar antarabangsa yang semakin merosot, lanskap pendidikan tinggi di negara ini akan menghadapi cabaran yang besar untuk berkelangsungan.

“Maka saya berpandangan bahawa jika universiti ini ditubuhkan, ia akan beroperasi dalam persekitaran yang sangat mencabar.

“Walau bagaimanapun, pendirian saya ini tidak boleh dianggap sebagai menentang penubuhan universiti di Johor dengan mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan negeri dan tiadanya komitmen pembiayaan dari kerajaan Pusat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar itu berkata, model universiti swasta milikan kerajaan negeri yang ada di kebanyakan negeri lain tidak menunjukkan kemajuan yang diharapkan, malah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) milik swasta dengan bayaran yuran yang kompetitif, kebanyakannya beroperasi dalam kedudukan kewangan yang sukar.

Justeru, beliau berpendapat jika Johor mempunyai kemampuan kewangan, kerajaan negeri disaran untuk mendapatkan penempatan penuntut dari negeri ini di institut pengajian tinggi awam (IPTA), IPTS atau kampus antarabangsa universiti luar negara.

Pemberian seumpama itu, katanya adalah lebih strategik kerana pelajar Johor yang layak dapat mengikuti pelbagai bidang yang mereka minati selain belajar di universiti yang lebih terkemuka. - UTUSAN ONLINE