Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kewujudan industri hiliran secara tidak langsung menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus melonjakkan pembangunan sosiekonomi rakyat di kawasan tersebut.

Syarat itu katanya, merupakan sebahagian daripada tiga program utama yang disusun secara bersepadu sempena genap 100 hari Pas membentuk kerajaan di Kelantan.

“Tiga program utama yang kita susun ialah menambah peluang pekerjaan untuk rakyat menerusi industri hiliran di samping meningkatkan sektor perhidmatan dan pertanian, meningkatkan kebersihan dan keceriaan bandar dan kehijauan negeri serta membanteras gejala sosial dan maksiat.

“Perkara ini akan diberi fokus sepanjang kita memerintah Kelantan untuk penggal ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan di Kompleks Kelantan Darulnaim, di sini hari ini.

Ahmad dalam pada itu memberitahu, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pihaknya tidak membuat sebarang janji dalam tempoh 100 hari.

Kata beliau, Pas Kelantan sebaliknya mengemukakan 14 tawaran sepanjang penggal kepada rakyat sekiranya diberi mandat sekali lagi mentadbir negeri ini.

“Jadi baru-baru ini, satu bengkel dianjurkan bagi membincangkan secara teliti hala tuju portfolio setiap Exco negeri. Hasil rumusannya digunakan untuk membentuk satu strategi membangunkan Kelantan berdasarkan 14 tawaran tadi.

“Tiga program utama yang saya sebut itulah strategi yang kita telah rangka,” katanya. - UTUSAN ONLINE