Perkara itu dibuktikan sekali lagi oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam sidang akhbar di bilik media bangunan Parlimen semalam.

Ketika rakyat khususnya di Pulau Pinang ternanti-nanti untuk mengetahui apakah pendirian DAP tentang isu projek terowong dasar laut, Ahli Parlimen Gelang Patah itu cuma mengulangi isu lapuk tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memang wajar bagi Kit Siang untuk mengulas tentang skandal terowong dasar laut itu kerana ia melibatkan soal integriti dalam pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang yang diketuai anaknya, Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri.

Bukankah lebih baik sekiranya Kit Siang yang sering mendabik dada sebagai jagoan dalam isu-isu berkaitan integriti menyuarakan teguran kepada anaknya sendiri?

Lebih-lebih lagi, skandal projek terowong dasar laut yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menjejaskan imej DAP di mata rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sepatutnya kepemimpinan DAP berasa lebih bimbang tentang masalah yang ditimbulkan pentadbiran Guan Eng selama dua penggal parti itu berkuasa di Pulau Pinang.

Ubatilah pekung di dada sendiri terlebih dahulu sebelum melemparkan tuduhan lapuk yang tidak berasas kepada pihak lain.