Presiden penaja bagi parti itu, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, parti berkenaan dinamakan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau singkatannya Putra.

Beliau yang juga bekas Pre­siden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, parti itu ditubuhkan selepas jawatankuasa penaja mengadakan pertemuan dengan rakyat marhaen, khususnya golongan belia sejak sebulan lalu.

Katanya, Putra juga bermatlamat membawa perjuangan tersendiri yang berlandaskan kepentingan Melayu dan Islam.

“Kita tidak bersekongkol de­ngan parti lain termasuk parti memerintah negara sekarang. Malah, parti ini bukan hanya salin kulit daripada Perkasa.

“Kita mahu memberi alternatif kepada orang Melayu supaya mereka boleh memilih parti bersih, berintegriti, tidak retorik dan tidak hipokrit,” katanya dalam sidang akhbar bagi mengumumkan parti itu di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Yang turut hadir bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Khalid Yunus yang turut dilantik sebagai Timbalan Presiden Penaja Putra.

Ibrahim berkata, pihaknya sudah membuat permohonan penubuhan parti secara dalam talian pada 13 Ogos lalu dan menghantar dokumen permohonan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), semalam.

Dalam pada itu, Ibrahim turut menekankan beberapa agenda utama dalam penubuhan Putra seperti pengagihan ekonomi yang adil, sistem pendidikan satu ali­ran serta menjaga maruah dan kepentingan orang Melayu untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun menurutnya, parti berkenaan tidak akan memecahbelahkan orang Melayu, se­baliknya akan mencari titik pe­nyatuan untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.

“Iklim politik hari ini berbeza, soal perpecahan orang Melayu sekarang berpunca daripada siapa? Siapa amalkan rasuah dan penyelewengan?

“Rasuah dan penyelewengan menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan akhirnya mereka berpaling daripada parti yang disokong selama ini.

“Jadi, jangan bagi ahli kecil hati dengan isu-isu sedemikian terutama golongan muda yang kini sedang memikirkan masa depan mereka,” katanya.