Numan berkata, beliau telah mengambil keputusan untuk hanya menolong Syed Saddiq secara sementara sebelum Pegawai Akhbar rasmi dilantik.

Laporan 'pelantikan' Numan mencetuskan kritikan sesetengah pihak yang mendakwa beliau memperjuangkan hak lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) justeru tidak sepatutnya dilantik sebagai kakitangan kementerian berkenaan.

"Kecaman dan ancaman yang hebat oleh agen propaganda pembangkang telah menyebabkan mustahil untuk saya menjalankan amanah yang diberi, justeru saya mengambil keputusan untuk tidak bertugas secara rasmi di Kementerian.

"Saya akan ke luar negara dalam masa terdekat untuk menentukan apa hala tuju saya selepas ini. Saya berhasrat untuk mengulang dan menegaskan kenyataan Menteri bahawa setakat ini belum ada sebarang perlantikan rasmi di Pejabat Menteri," kata Numan dalam satu kenyaaan hari ini.

Numan merupakan pentadbir bagi kumpulan WhatsApp untuk menyelaraskan jadual kerja Syed Saddiq dan pihak media selepas anggota parlimen Muar itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Mengenai isu beberapa nama-nama pegawai yang tertera di laman web rasmi Kementerian, Numan berkata, beliau dimaklumkan terdapat unsur-unsur sabotaj dan siasatan dalam sedang dijalankan.

"Saya difahamkan oleh Menteri tindakan tegas akan diambil ke atas pesalah.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada saudara Syed Saddiq atas peluang dan tunjuk ajar yang diberi sepanjang kempen pilihan raya di Muar dan fasa transisi di Kementerian. Ia adalah satu penghormatan untuk berkhidmat untuk beliau," kata Numan.

Numan berharap polemik mengenai 'pelantikan' beliau tidak dipanjangkan.-UTUSAN ONLINE