Presidennya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan berhubung perkara itu akan diputuskan setelah pihaknya mengadakan perbincangan lanjut dengan semua parti komponen BN Sarawak nanti.

Namun, Abang Johari yang juga Pengerusi BN Sarawak menegaskan, PBB tidak akan menyertai Pakatan Harapan tetapi menjadi parti yang mesra dengan kerajaan Persekutuan demi kepentingan dan masa depan rakyat Sarawak.

"Kita dalam PBB komited untuk bergerak ke hadapan menjadi lebih kuat demi kepentingan rakyat Sarawak yang dicintai.

"PBB akan kekal stratrategik dan bebas untuk meneruskan peranan sebagai juara melindungi kepentingan Sarawak sebagai parti berasaskan gabungan bersatu Sarawak bagi menjunjung harapan dan impian rakyat yang mahu melihat Sarawak lebih gah," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di sini petang ini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri yang merupakan kerajaan memerintah Sarawak ketika ini, akan meneruskan manifesto BN Sarawak yang dijanjikan pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak pada 2016.

Beliau berkata, antara ditumpukan ialah memberi memajukan kawasan luar bandar dan memenuhi tuntutan hak-hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ditanya bilakah perjumpaan dengan parti komponen diadakan, Abang Johari berkata, ia belum ditetapkan kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru sahaja berlalu dan semua parti memerlukan tempoh bertenang serta bermesyuarat terlebih dahulu. - UTUSAN ONLINE