Ketua Menteri merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ikrar tersebut akan dikotakan dan yakin parti komponen lain BN di Sarawak akan melakukan perkara sama.

Katanya, PBB akan terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN dan memberikan kemenangan di sini.

“Saya boleh memberi jaminan kepada Perdana Menteri bahawa kita selamanya dalam Malaysia dan menyokong anda.

“Kita hanya mahukan hak yang telah terhakis untuk dikembalikan kepada Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta pengerusi-pengerusi komponen BN negeri lain.

PBB sebagai sebuah parti komponen BN yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan Sarawak semenjak mencapai kemerdekaan dalam gabungan menubuhkan Malaysia pada 1963. - UTUSAN ONLINE