Ketika diajukan mengenai perhimpunan tahunan parti Melayu terbesar negara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memberitahu, tumpuan lebih terarah kepada ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang akan menyentuh banyak perkara khususnya hala tuju parti.

Katanya, maklumat lanjut mengenai perhimpunan agung pertama UMNO sebagai parti pembangkang itu akan dimaklumkan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam waktu terdekat.

“Tiasa usul tertentu dikhususkan, tetapi saya difahamkan tumpuan lebih kepada ucapan Presiden yang akan menyentuh banyak aspek terutamanya politik serta hala tuju parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel forum ‘A New Malaysia: The Way Ahead’ di Sunway University di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Menyentuh mengenai tempoh masa perhimpunan yang dipendekkan kepada dua hari berbanding lima hari sebelum ini, Zambry memberitahu, parti itu akur dengan kemampuan mereka yang kini sebagai parti pembangkang.

Katanya, keputusan mengadakan cuma dua hari itu selepas mengambil kira kemampuan ahli untuk datang, masa dan tempat persidangan yang sudah tentunya menimbulkan masalah daripada aspek kos.

“Atas dasar itu pihak majlis tertinggi buat keputusan memendekkan tempoh perhimpunan bagi membolehkan perbincangan lebih bermakna dan dapat diarahkan serta ditumpukan kepada hala tuju parti,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE