Noor Aziah
Noor Aziah

Namun sebaliknya berlaku apabila beliau mengeksploitasi kanak-kanak untuk membenci kerajaan Persekutuan yang jelas satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

Pakar undang-undang keluarga dan kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Noor Aziah Mohd. Awal berkata, ini tidak ubah seperti tindakan pembangkang ‘mengheret’ kanak-kanak ke perhimpunan haram Bersih suatu masa dahulu.

Beliau berkata, Guan Eng selaku Ketua Menteri tidak sepatutnya menghasut kanak-kanak yang masih belum boleh berfikir dengan matang demi kepentingan politik beliau sendiri.

“Selaku pemimpin tertinggi sebuah negeri, beliau sepatutnya menjadi ikon dengan menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat, namun sebaliknya berlaku apabila beliau mengeksploitasi kanak-kanak untuk membenci kerajaan.

“Tindakan beliau ini tidak bertanggungjawab, sama seperti tindakan segelintir ibu bapa yang membawa anak kecil ke perhimpunan Bersih suatu masa dahulu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Video yang menunjukkan Guan Eng terkinja-kinja mengikut rentak lagu mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam sebuah majlis pelancaran pusat tuisyen di Jelutong, Pulau Pinang mula tular di media sosial semalam.

Sejak itu, Guan Eng menerima kecaman daripada pelbagai pihak atas kelakuan kurang matangnya.

Mengulas lanjut, Noor Aziah turut menjelaskan laporan polis boleh dibuat sekiranya pihak yang melapor mendapati ada unsur fitnah dan menghasut dalam tindakan tersebut, namun yang berkemungkinan dikenakan tindakan ialah penganjur, bukan Guan Eng.

Hal ini kerana Guan Eng sekadar hadir sebagai jemputan dalam majlis tersebut.

“Kita tidak tahu keadaan sebenar. Kita pun tak pastikan pihak mana yang menyediakan video dan lagu tersebut, sama ada penganjur atau Guan Eng,” katanya. - UTUSAN ONLINE