Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen negara, UMNO mendominasi kerajaan memerintah dalam pelbagai bidang.

“Oleh sebab itu, kita perlu menentukan kuasa terus kekal pada kita. Jika kuasa itu jatuh pada orang lain, orang lainlah yang akan membuat dasar dan akan menentukan segalanya.

“Kini, orang lain teringin untuk memerintah negara iaitu DAP yang diketuai penasihatnya, Lim Kit Siang,” katanya ketika berucap merasmikan Persida­ngan Perwakilan UMNO Bahagian Bentong di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, usaha pembangkang untuk memerintah negara dapat dilihat menerusi gabungan yang ditubuhkan iaitu Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan dike­tuai DAP.

“Dalam sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia, kita tidak ada naib johan, yang ada hanya johan sahaja. Oleh sebab itu, dalam pilihan raya, tiada tolak ansur dan kita mesti menang untuk menubuhkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, setiap ahli UMNO perlu sedia menghadapi serangan pembangkang terhadap pelbagai pendekatan yang dilakukan kerajaan.