Ahli Dewan Negara, Profesor Emeritus, Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah berkata, sehubungan itu, mereka sewajarnya terus memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk kekal mentadbir negara.

Katanya, beliau bimbang sekiranya Pakatan Harapan berjaya mendapat majoriti di Dewan Rakyat, segala hak istimewa yang dinikmati orang Melayu dan bumiputera tidak lagi wujud.

“Kemakmuran negara perlu di­pertahankan selama-lamanya kerana itulah kunci kekuatan negara yang menaungi tidak kira orang Melayu atau bumiputera. Konsep Malaysian Malaysia yang dibawa oleh DAP sudah pasti mempromosi kesamarataan hingga bumiputera terpinggir.

“Kejayaan UiTM hari ini hingga menjadi universiti terbaik termasuk diiktiraf kerana melakukan pembedahan robotik pertama di negara ini bukan dihasilkan dalam sehari dua tetapi memerlukan masa yang panjang dalam suasana negara yang makmur sejak merdeka,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penye­rahan Sumbangan Van Jenazah dan Peruntukan Membesarkan Wad Wanita di Fakulti Perubatan UiTM, di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni UiTM, Profesor Dr. Zaini Abdullah.

Ibrahim Shah berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu digunakan sebaiknya oleh rakyat untuk mengekalkan mandat kepada kerajaan BN supaya dapat meneruskan pemerintahan negara yang makmur dan stabil.

“Kita tidak mahu rakyat memilih pemimpin yang memperjuangkan ideologi bersifat libe­ralisme dan pluralisme hingga merosakkan agama Islam yang menjadi tonggak kemakmuran negara kita.

“Saya ingin tegaskan, sejarah telah membuktikan serangan terhadap negara Arab atas nama menghapuskan senjata pemusnah besar-besaran dan fenomena Arab Spring telah menghancurkan kemakmuran negara seperti Iraq, Tunisia, Libya dan Syria. sehinggakan negara-negara tersebut masih bergolak dan akhirnya rakyat menjadi mangsa,” ujarnya.

Tegas beliau, BN ternyata mampu membela orang Melayu dan bumiputera hingga negara ini hebat dari segi sosioekonomi, justeru mereka harus memilih BN yang komited membela umat Islam melalui dasar ekonomi dan pendidikan terbaik seperti yang ada di UiTM hari ini.