Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, disamping menang majoriti lima kali ganda di kerusi Parlimen Bagan Datuk dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup, pasukan tersebut juga diminta menjadi tulang belakang BN untuk merampas DUN Hutan Melintang daripada pembangkang.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk yakin sasaran tersebut dapat dicapai meskipun kerja yang perlu dilakukan lebih hebat dan mencabar.

“Senario politik di Bagan Datuk sama seperti di kawasan-kawasan lain di seluruh Malaysia di mana kita diserang dengan pelbagai tohmahan dan fitnah bagi menghilangkan kebolehpercayaan rakyat kepada parti memerintah.

“Tetapi tanggungjawab terletak di bahu JR dan JR Plus untuk tolak fitnah tersebut dan yakinkan rakyat apa yang kita perjuangkan adalah untuk kepentingan mereka tanpa mengira kaum dan bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelanjaran JR Plus Bagan Datuk di Dewan Datuk Mohamed Jamrah, Sungai Sumun dekat sini.

Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Khairuddin Tarmizi; Naib Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin. - UTUSAN ONLINE