Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Madya Dr. Jeniri Amir berkata, bagi mencapai matlamat itu, Pas dan UMNO perlu lebih bertolak ansur dan bukannya hanya memperjuangkan Islam dan Melayu.

Menurut beliau, kedua-dua parti seharusnya memperjuangkan hak semua kaum bagi meraih keyakinan parti-parti komponen lain terutamanya MIC dan MCA.

“Mereka tidak ada pilihan, kalau hendak menentang PH, mereka perlu melupakan sejarah mereka yang punyai konflik suatu masa dahulu. Mereka perlu jalin kerjasama utuh bagi mendepani PH sebagai parti pemerintah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai Muktamar Tahunan Pas ke-64 di Terengganu hujung minggu ini yang bakal mencipta sejarah baharu dalam politik ta­nah air dengan memperlihatkan kerjasama antara Pas dan UMNO.

Buat julung kalinya, perhimpunan selama tiga hari itu akan dihadiri 10 wakil UMNO dengan diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib berkata, kedua-dua parti itu perlu membuat lebih banyak pertemuan atau jerayawara di peringkat bahagian dan cawa­ngan bagi menjelaskan ikatan yang terjalin di antara kedua-duanya.

Beliau memberitahu, pada masa ini, kemesraan atau keputusan mutlak mudah dilakukan di peringkat kepemimpinan atasan, sebaliknya bukan di peringkat akar umbi.

“Di sesetengah ne­geri, kerjasama antara Pas dan UMNO diibaratkan mimpi ngeri. Kalau bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi. Jadi, kedua-dua pihak perlu me­nunjukkan keikhlasan masing-masing untuk menjalinkan kerjasama berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, Pe­ngarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, kerjasama kepemimpinan Pas dan UMNO kali ini merupakan langkah strategik dan pragmatik.

Maka, jelasnya, kepemim­pinan Pas dan UMNO perlu mempertahankan benteng Melayu dan Islam yang masing-masing perjuangkan selama ini.
 “Ini yang sedang berlaku sekarang. Apabila Pas dan UMNO me­rasakan PH adalah musuh bersama, kerjasama akan jadi lebih erat. Hubungan ini akan berterusan ke PRU-15,” katanya.