Beliau berkata, sebagai sebuah parti yang sememangnya dan sentiasa merasai denyut nadi rakyat, golongan yang diketahui menghadapi kesusahan hidup haruslah perlu terus didekati dan diberi perhatian.

"Seperti hari ini, ketika umat Islam sedang sibuk untuk menyambut hari raya Aidiladha, kami hadir menziarahi golongan ini dan melihat bagaimana mereka mahu menyambut perayaan itu esok," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ziarah Kasih di Pangsapuri Seri Meranti, Ara Damansara di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelasnya, DUN Seri Setia juga mempunyai kumpulan penduduk berkelas elit dan menjadikan kawasan ini seperti memiliki dua darjat di dalamnya.

"Kumpulan ini memiliki sumber untuk mendapatkan maklumat, jadi saya berharap mereka dapat berfikir, menilai dan menggunakan kebijaksanaan mereka dalam pilihan raya kali ini bersama golongan masyarakat yang lain untuk memberikan undi kepada Pas yang saya wakili," katanya.

Sementara itu, ujar Dr. Halimah, Pas akan berusaha sedaya upaya termasuk menerusi media sosial dan jentera pilihan rayanya untuk menggalakkan lebih ramai pengundi keluar untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada 8 September ini. - UTUSAN ONLINE