Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengulangi ketegasan bahawa Pas tidak akan sekali-kali menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik yang mempunyai hubungan de­ngan DAP dan juga PAN.

Beliau memberitahu, Pas sememangnya berpegang pada garis panduan dan sempadan untuk tidak bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan PAN.

“Terpulang kepada PPBM, kita sudah ada garis panduan dan garis sempadan, kita tak akan kerjasama dengan parti yang bekerjasama dengan DAP dan juga PAN. Sikap kita (Pas) begitu,” tegasnya kepada pemberita di kediamannya di Rusila di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan kuliah Jumaat dan menyempurnakan majlis pelepasan Konvoi Himpunan Rang Undang-undang (RUU) 355 di pekarangan Masjid Rusila yang terletak bersebelahan.

Ditanya adakah itu merupakan pendirian rasmi Pas, Abdul Hadi menjawab: “Ya, parti yang kerjasama dengan DAP dan PAN, kita tak akan bekerjasama.”

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang diminta mengulas mengenai pendirian rasmi Pas mengenai hubungan parti itu dengan PPBM.

Minggu lalu, Timbalan Presi­den Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas akan membuat keputusan mengenai pendirian parti itu hari ini.

Namun Selasa lalu, Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, parti pim­pinan­nya tidak akan sesekali mengetepikan DAP, semata-mata untuk bekerjasama dengan Pas.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, keperluan DAP dalam pakatan pembangkang menyamai dengan keperluan Barisan Nasional (BN) terhadap MCA.

Mengenai Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur esok, Abdul Hadi memberi jaminan Pas selaku penganjur program akan memastikan tidak berlaku sebarang provokasi sehingga boleh mengancam keselamatan mereka yang hadir.

Menurutnya, segalanya berjalan lancar hasil perbincangan pihak Pas dengan kerajaan selain mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa keselamatan.

“Kita nasihatkan agar kita hadiri himpunan RUU 355 dengan tenang, aman dan konsisten untuk mencapai tujuan serta matlamat memperkasakan mahkamah syariah dan menghormati kebebasan penganut pelbagai agama di negara kita,” ujarnya.