TAKIYUDDIN HASSAN

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, proses melantik Perdana Menteri merupakan satu perkara yang ditetapkan dalam perkara 43, Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, perkara 43 menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam perjalanan fungsinya.

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

“Perkara 40 fasal 2 pula memperuntukkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan Perdana Menteri, tanpa perlu bertindak mengikut nasihat mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Takiyuddin lagi, berdasarkan peruntukan-peruntukan tersebut, adalah jelas selepas PRU-14, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan hak istimewa baginda melantik seorang dari­pada 222 Ahli Parlimen menjadi Perdana Menteri.

“Adalah menjadi amalan di Malaysia, Perdana Menteri akan dilantik dalam kalangan pe­mim­pin parti yang mendapat majoriti kerusi di Parlimen.

“Namun begitu, jika berlaku sesuatu keadaan tidak ada parti memperoleh majoriti atau bila­ngan kerusi diperoleh gagal membentuk kerajaan, Pas berpandangan baginda akan menggunakan prerogatif baginda untuk memilih Perdana Menteri.

“Walau apapun keadaannya, Pas berpandangan Perdana Menteri locum (sementara) bukanlah amalan baik dan tidak mencerminkan kerajaan dipimpinnya sebuah kerajaan stabil dan kuat,” katanya.