Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas mengharapkan agar proses penggantian Perdana Menteri tidak menimbulkan kesulitan kepada rakyat dan dilakukan dengan betul serta lebih menjamin.

Apa yang penting jelas beliau, Islam mesti menguasai negara ini setelah mengambil kira majoriti rakyat yang beragama Islam.

“Terpulang kepada mereka yang dapat kuasa, kita harap proses itu tidak menimbulkan kesusahan kepada rakyat. Kita harap proses yang betul, baik dan lebih menjamin.

“Yang penting Islam mesti menguasai negara. Saya nak ingatkan majoriti rakyat (Malaysia) adalah orang Islam,” katanya kepada pemberita selepas program Himpunan Kesyukuran Kerajaan Rakyat Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Pegawai Kewangan negeri, Datuk A. Rahman Yahya serta seluruh kepemimpinan kerajaan Pas Terengganu termasuk Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Hussin Awang.

Abdul Hadi diminta mengulas kedudukan jawatan Perdana Menteri kini disandang Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dikatakan tidak lama sebelum diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh setahun dua lagi.

Ahli Parlimen Marang itu sete­rusnya menegaskan, Pas akan sentiasa berdiri teguh demi mempertahankan martabat dan kedaulatan Islam di negara ini daripada diganggu gugat mana-mana pihak.

“Pas akan bersama pertahankan Islam yang ada. Sebarang langkah yang menjejaskan Islam dan umatnya, Pas akan bangkit untuk mempertahankannya,” jelasnya.

Dalam pada itu, program kesyukuran yang dihadiri kira-kira 10,000 umat Islam merupakan himpunan yang julung kali diadakan selepas Pas kembali membentuk kerajaan di Terengganu setelah mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).