Ini kerana menurut Mursyi­dul Am Pas, Hashim Jasin, parti perlu menghormati arahan pihak lain yang 'lebih berkuasa' di negeri tersebut berbanding akur kepada kehendak Menteri Besar berkenaan.

Tanpa mendedahkan individu yang dimaksudkan ‘lebih berkuasa’ itu, Hashim berkata, Jawatankuasa Pas Pusat juga akan bermesyuarat Khamis ini bagi membincangkan kedudukan tiga Exco berkenaan dan membuat pengumuman mengenainya sekiranya berjaya mencapai satu keputusan.

“Kita sudah jangka mereka (Pakatan Harapan yang diketuai DAP) akan mengarahkan Exco Pas lepas jawatan selepas terlerainya tahaluf siyasi de­ngan PKR.

“Walau bagaimanapun, sekiranya ada pihak lain yang dikira lebih berkuasa tidak membenarkan Pas berbuat demikian (lepas jawatan), maka kita serah kepada Jawatankuasa Pas Pusat yang akan bermesyuarat Khamis ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Pas Kawasan Kepala Batas di sini hari ini.

Tiga Exco Pas dalam Kerajaan PKR Selangor ialah Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr. Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Sebelum ini, media melaporkan Mohamed Azmin sudah mengarahkan ketiga-tiga Exco terbabit meletak jawatan, namun perkara itu dinafikan Exco berkenaan.

Dalam pada itu ditanya me­ngenai teka-teki kedudukan tiga Exco Pas berkenaan, Hashim berkata, Mohamed Azmin sebenarnya boleh menamatkan persoalan itu dengan merombak barisan Exconya.

“Padahal Menteri Besar Sela­ngor boleh rombak barisan Exco itu, pasal apa beliau tidak berbuat demikian, itulah teka tekinya.

“Itulah sebabnya Majlis Syu­­­ra menyerah balik kepada jawatankuasa Pas pusat untuk membuat keputusan mengenai kedudukan anggota Exco itu,” katanya.