Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti itu tidak pernah melakukan sebarang perbincangan mahupun persetujuan berhubung perkara itu.

“Sebagaimana kita (Pas) buat keputusan di Sungai Kandis, sama juga di Balakong. Ini kerana, kawasan (Balakong) itu majoriti pengundi Melayu lebih rendah jika dibandingkan dengan Sungai Kandis.

“Kita juga tiada sebarang perancangan, perbincangan mahupun persetujuan bersama BN. Secara rasminya juga kita tidak akan membantu atau turun menolong jentera mereka. Soal pengundi Pas akan mengundi siapa juga itu belum keluar sebarang arahan atau larangan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam kononnya parti itu ibarat adik beradik dengan BN apabila kepemimpinan Pas memutuskan untuk tidak meletakkan calon bertanding dalam PRK berkenaan.

PRK kerusi Dun Sungai Kandis pada 4 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas, K. Murthy. - UTUSAN ONLINE