Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan tetap menyokong UMNO namun, tahap komitmen serta kadar penglibatan parti itu berbeza keadaannya pada PRK Parlimen Cameron Highlands lalu, atas faktor pertandingan di peringkat DUN.

Katanya, ia selaras dengan pendirian konsisten Pas yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lainnya di samping mengekalkan hubungan dengan UMNO atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.

"Tidak ada apa-apa perakuan atau surat bertulis berkaitan PRK Semenyih, hanya dibincangkan secara lisan antara Tun Dr. Mahathir dan Presiden Pas.

"Secara lisan kita menyatakan kepada beliau pendirian tidak bertanding dalam PRK DUN Semenyih di samping tahap penyertaan dan komitmen berbeza dengan PRK Parlimen Cameron Highlands," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sejurus selesai Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat di Pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) di Masjid Rusila di sini petang ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu disertai ahli jawatankuasanya termasuk Naib Presiden, Idris Ahmad dan Datuk Nik Mohd. Amar Nik Abdullah; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali.

Turut hadir, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan; Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh. - UTUSAN ONLINE