Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hal itu timbul disebabkan kecelaruan kenyataan dalam kalangan jemaah menteri dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum ini menyifatkan pelaksanaan ICERD sebagai hampir mustahil untuk dilaksanakan.

Tegasnya, lebih membimbangkan apabila kerajaan PH ketika ini dikuasai Ahli Parlimen bukan Islam dengan keseluruhan 66 kerusi berbanding 58 kerusi Islam.

“Kita saksikan bagaimana keadaan sangat mencemaskan apabila kenyataan jemaah menteri bercanggah. Contohnya, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya ICERD ditangguhkan dan dikaji dahulu.

“Kalau diundi akan berlaku satu perubahan yang sangat membahayakan,” katanya dalam ucaptama sempena Ijtimak Kepemimpinan Pas negeri di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Hussin Awang.

Abdul Hadi mengulangi pendirian bahawa perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ICERD pada 8 Disember ini bukan bertujuan menimbulkan huru-hara, sebaliknya untuk memprotes secara aman dan mengikut proses demokrasi.

Katanya, demokrasi me­ngizinkan rakyat melakukan demonstrasi secara aman dan justeru, umat Islam perlu bersatu tanpa sesekali menafikan kedudukan orang bukan Islam.