ABDUL HADI AWANG
ABDUL HADI AWANG

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pastinya Pas mengambil pendirian itu apabila terdapat suara positif yang selari dengan kepentingan Islam, negara dan rakyat majmuk keseluruhannya.

“Berdasarkan prinsip inilah maka sebarang perkembangan baharu dalam gerak politik Pas akan dinilai, dibincang dan diputuskan di pelbagai peringkat proses dalaman parti.

“Ini termasuklah dalam perbincangan oleh Jawatankuasa Pas Pusat sehingga mencapai keputusan secara kolektif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada intipati ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang antara lain menyatakan hasratnya menghulurkan tali silaturahim kepada Pas bagi membina Malaysia yang mengikut syariat Islam sebenar.

Abdul Hadi berkata, pada masa ini Pas mengadakan tahaluf siyasi bersama PKR dan partinya komited dengan kerjasama itu sebagaimana dicapai dalam muktamar dan diluluskan oleh Majlis Syura Ulama Pas di peringkat pusat.

“Pas juga ingin membuat seruan betapa kini masa yang sangat sesuai untuk UMNO kembali kepada Islam dan mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangannya sama ada politik, sosial mahu pun ekonomi.

“Pintu taubat tidak pernah ditutup dan rasa keinsafan yang murni adalah kunci mendapat keampunan daripada Allah SWT, “ ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan Abdul Hadi berkata, lebih enam dekad Pas berjuang membawa Islam dan syariatnya berpandukan kepada al-Quran, Sunnah, ijmak ulama dan qiyas sebagai rujukan.

“(Oleh itu) Pas mengambil pelbagai ruang dan peluang untuk menyedarkan masyarakat termasuk pemimpin politik dan negara agar meletakkan agama sebagai teras pemerintahan dan penyatuan ummah untuk kesejahteraan rakyat seluruhnya,” katanya lagi.

Pas juga katanya, akan terus berjuang menolak kemungkaran politik, amalan salah guna kuasa dan tadbir urus, kerosakan akhlak serta rasuah dalam amalan bernegara.