Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pemilihan itu dibuat pastinya berdasarkan latar belakang beliau dalam bidang perundangan serta pengalaman luas dalam bidang litigasi di mahkamah.

“Sebagai seorang profesional adalah diharapkan Pengerusi SPR yang baharu akan bertindak secara telus, tidak memihak dan dapat menjalankan reformasi penuh bagi mengembalikan integriti serta tahap keyakinan awam kepada institusi utama pilihan raya negara ini.

“Pas juga mengharapkan Pengerusi SPR diberikan sepenuh kuasa autonomi di bawah undang-undang tanpa sebarang gangguan, sekatan atau pengaruh daripada mana-mana pihak dalam rangka mengurus proses pilihan raya yang adil,

telus lagi dilihat bersih daripada sebarang unsur yang boleh menimbulkan persoalan terhadap kesaksamaan dan keabsahan SPR dan pilihan raya yang diuruskannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berharap, pelantikan itu juga membolehkan SPR menyemak kembali segala kelemahan dan ketidakadilan yang berlaku selama ini.

“Ini termasuk dalam isu persempadanan semula kawasan pilihan raya terutama persoalan wajaran atau ‘weightage’ antara bandar dan luar bandar.

“PAS percaya integriti SPR dan pilihan raya yang diuruskannya merupakan syarat pertama dan paling penting dalam memelihara, menyuburkan sekali gus mempertahankan ciri demokratik negara serta berperanan memastikan pilihan rakyat benar-benar dihormati,” jelasnya.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, sebagai sebuah parti politik berpengalaman yang terlibat dalam kesemua pilihan raya yang pernah diadakan di negara ini, PAS turut bersedia memberikan pandangan, cadangan mahupun kritikan membina bagi menambah baik sistem pilihan raya di negara ini. -UTUSAN ONLINE