Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, tindakan Mohamed Azmin yang sengaja mencipta dolak-dalik bagi memanjangkan isu tersebut adalah penghinaan dan Pas tegasnya tidak akan sesekali merayu kepada Menteri Besar tersebut.

Sambil mengingatkan Mohamed Azmin bahawa kerajaan negeri pimpinannya akan tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana penghinaan tersebut dan pelbagai isu lain, Sallehen berkata, sejarah Barisan Nasional (BN) yang kecundang pada 2008 akibat perbuatan bekas Menteri Besar, Dr. Mohamad Khir Toyo akan berulang.

“Membekukan peruntukan kepada wakil rakyat Pas ini penghinaan.

Hari ini Exco kita dimalukan, ini bermakna sejarah tumbangnya sebuah kerajaan di sebuah negeri kerana menghina Yang Dipertua dengan penyapu akan berulang sekali lagi,” katanya ketika berucap di Munajat Perdana Pas Selangor di sini malam ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin pada petang ini mendakwa Pas Selangor menghina istana Selangor selepas parti itu menghantar surat rasmi kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu menyekat peruntukan tahunan.

Mohamed Azmin dipetik sebagai berkata: “Mengapa nak heret istana, ini soal pentadbiran. Saya dah beritahu jumpa DO (Pegawai Daerah), bukan jumpa Sultan.

“Ini satu penghinaan kepada istana. Nak maklum apa kepada istana,”.

Mengulas langkah Pas menghantar surat kepada Sultan Sharafuddin, Sallehen berkata, ia bukan satu penghinaan tetapi usaha Pas memaklumkan kepada baginda selaku payung kesejahteraan untuk seluruh rakyat bagi menjelaskan hakikat sebenar isu tersebut.

“Menteri Besar kata langkah kita hantar surat satu penghinaan kepada istana (sebenarnya) kita tidak hina tuanku, kita maklumkan kepada tuanku kerana selaku payung kesejahteraan rakyat, kepada siapa lagi kita hendak mengadu kalau bukan tuanku.

“Sebenarnya memang niat dia (Mohamed Azmin) tak mahu bagi pada kita, bila tanya DO, suruh jumpa Menteri Besar dan begitulah sebaliknya, tetapi kita nak beritahu duit tidak akan menjinakkan Pas kerana kita bergantung pada Allah, bukannya manusia,” katanya. - UTUSAN ONLINE