TAKIYUDDIN HASSAN

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, meskipun demikian sebagai sebuah parti pembangkang Pas mengharapkan PRK itu turut menghasilkan keputusan bagi menguatkan lagi wakil pembangkang terutama dalam Parlimen.

Beliau berkata, hal ini pen­ting kerana amalan demokrasi yang baik memerlukan proses semak dan imbang dalam pentadbiran sesebuah kerajaan, dengan kata lain peranan pembangkang adalah amat penting.

“Selaras dengan itu, maka Pas memutuskan akan memberi sokongan kepada calon yang mewakili pembangkang dalam PRK ini nanti.

“Sehubungan dengan itu Pas menyeru dan akan mengarahkan ahli-ahlinya di kawasan ini supaya turun membuang undi sebagaimana pendirian parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam mesyuarat khas hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Januari depan sebagai hari pengundian bagi PRK Parlimen Cameron Highlands manakala 12 Januari ini sebagai hari penamaan calon.

Mesyuarat itu dibuat selepas SPR menerima menerima makluman bahawa penyandang kerusi tersebut sebelum ini, Datuk C. Sivarraajh gagal mengemukakan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Dalam PRU-14, Sivarraajh yang juga merupakan Naib Presiden MIC menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi untuk menewaskan M. Manogaran dari PKR yang memperoleh 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd. Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).