Pemilihan Zamri, 39, yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor itu diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya Pas Negeri, Sallehen Mukhyi dalam satu majlis pengisytiharan yang diadakan di Dewan Perkim Village, Seksyen 8, di sini malam ini.

Selain Zamri, Pas Selangor turut mengumumkan seorang lagi bekas hos rancangan ‘Jentik Hati, Suntik Minda’ terbitan Astro Oasis, Nushi Mahfodz, 43, yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Serdang untuk mewakili parti itu di kerusi Parlimen Bangi.

Malah, turut dipilih penceramah bebas dan Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abd. Rani, 42, yang akan bertanding di kerusi DUN Kota Anggerik.

Pada masa sama, pengumuman calon PRU-14 bagi Pas Selangor menyaksikan 12 penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-13 kekal bertanding di kerusi masing-masing antaranya Mohd. Shafie Ngah yang bertanding kerusi Sungai Ramal (sebelum ini DUN Bangi), Noor Hanim Ismail (Seri Serdang), Dr. Halimah Ali (Selat Klang), Ir. Mohd. Haslin Hassan (Tanjung Sepat), Zaidy Abd. Talib (Taman Templer) dan Hasbullah Mohd. Ridzwan (Gombak Setia).

Bagaimanapun, penyandang kerusi DUN Meru, Dr. Abdul Rani Osman diumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Kapar manakala kerusi DUN itu akan ditandingi Yang Dipertua Pas Kawasan Meru, Noornajahan Mohd. Salleh.

Selain itu, Exco Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi kekal bertanding di DUN Sijangkang manakala kerusi DUN Dusun Tua ditandingi penyandangnya, Razaly Hassan dan begitu juga kerusi DUN Sabak yang akan terus ditandingi Sallehen sendiri.

Bagi kerusi DUN Paya Jaras yang menjadi kontroversi selepas penyandangnya, Mohd. Khairuddin Othman keluar Pas dan menyertai PKR sebelum ini, parti itu mencalonkan Timbalan Ketua Dewan Pas Selangor, Mohd. Hanafi Zulkapli.

Kerusi DUN Pandan Indah (sebelum ini Chempaka) pula kekal ditandingi Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad manakala Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki diumumkan akan bertanding di Parlimen Shah Alam.

Pada masa sama, bekas Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Datuk Dr. Yahaya Baba dicalonkan bertanding di kawasan Parlimen Kuala Langat.

Secara keseluruhannya, Pas Selangor bertanding sebanyak 20 kerusi Parlimen dan 47 kerusi DUN dengan sembilan calon wanita serta dua bukan Islam iaitu dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Selangor diangkat sebagai calon.

Bagaimanapun, Pas Selangor tidak meletakkan sebarang calon di kawasan Parlimen Subang dan Damansara yang mana kedua-dua kerusi itu akan ditandingi sekutu mereka di bawah Gagasan Sejahtera.

Sallehen ketika berucap dalam majlis itu menegaskan bahawa pertandingan dalam PRU-14 bukan satu perkara yang mudah, sebaliknya merupakan cabaran besar kerana akan melibatkan lebih daripada dua parti.

“Kita akan hadapi cabaran yang getir, kita akan berhadapan bukan dua parti, tetapi tiga parti dan mungkin lebih jadi semua calon harus berpegang kepada baiah dan setia kepada parti,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE