SALLEHEN MUKHYI

Penyerahan surat itu dilakukan sendiri Pesuruhjaya Pas negeri, Sallehen Mukhyi kepada pegawai pengiring baginda, Kepten Ahmad Ramli Kardi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak itu hadir ke Istana Mestika, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 2 petang.

Surat tersebut kemudiannya diserahkan kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

Sallehen ketika dihubungi mengesahkan perkara itu selain memaklumkan surat tersebut adalah untuk memaklumkan kepada baginda mengenai situasi sebenar selepas Mohamed Azmin menyekat peruntukan tahunan 13 wakil rakyat Pas sejak dua bulan lalu.

“Kita (Pas Selangor) serahkan surat itu kepada Sultan Selangor hari ini. Kita bukan minta campur tangan Sultan Selangor, tetapi surat itu adalah untuk memaklumkan kepada baginda mengenai apa yang sebenarnya berlaku di sebalik isu sekatan peruntukan kerajaan negeri kepada wakil-wakil rakyat Pas ketika ini.

“Sebelum ini kita telah berusaha mendapatkan penjelasan daripada Menteri Besar termasuk meminta tarikh untuk mengadakan perbi­ncangan. Namun, Menteri Besar memilih untuk bermain tolak tarik dengan kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pada masa sama, Sallehen turut mencabar Mohamed Azmin supaya menyatakan pendirian sama ada Menteri Besar itu benar-benar berniat mahu menyekat terus peruntukan tahunan kepada wakil rakyat Pas atau sebaliknya.

Ini kerana jelasnya, berdasarkan tindak-tanduk Mohamed Azmin dalam isu berkenaan, Timbalan Presiden PKR itu dilihat tidak menunjukkan sebarang minat atau berusaha untuk menyelesaikan isu berkenaan sehingga kini.

Sebaliknya, Mohamed Azmin, tegas Sallehen, didapati sering menjadikan masalah teknikal sebagai alasan bagi menidakkan hak wakil-wakil rakyat Pas yang merupakan sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.

“Kita telah bertanyakan isu peruntukan wakil-wakil rakyat Pas ini kepada semua Pegawai Daerah selaku pengawal kewangan, namun mereka memaklumkan perkara itu harus dirujuk kepada Menteri Besar yang mengeluarkan arahan. Apabila kita tanya kepada Menteri Besar, beliau minta kita tanya pula kepada Pegawai Daerah.

“Justeru, Menteri Besar kena ikhlas dan jujur sama ada nak beri atau tak nak beri langsung peruntukan tahunan itu kepada wakil-wakil rakyat Pas. Kita tidak akan merayu,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Munir ketika dihubungi mengesahkan te­lah menerima surat daripada Sallehen dan akan menyerahkannya untuk perhatian Sultan Selangor.