TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah tersebut sejajar dengan konsep federalisme yang menekankan pentingnya hubungan baik antara kerajaan Pusat dan negeri.

“Malah lebih daripada itu, Pas bersedia menjadi rakan dialog dalam membangunkan negara di bawah konsep taawun siyasi.

“Selaras dengan budaya politik matang dan sejahtera yang menjadi pendekatan Pas kini, Pas akan menyokong dasar kerajaan yang mendorong ke arah kebaikan dan ketakwaan kepada Allah manakala di sudut yang lain, Pas sedia menjadi pembangkang yang konstruktif dan berkesan ke arah kesejahteraan dan pembangunan negara,” katanya menerusi laman Facebook hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim, pendekatan politik semak dan imbang ini akan membantu kerajaan dalam me­laksanakan pem­bangunan negara yang cemerlang.

“Pas dengan dasar Islam yang dibawa akan memperkasakan suasana harmoni antara kaum, memperkasakan jati diri rakyat Malaysia khasnya dalam kala­ngan umat Islam.

“Walaupun Pas bukan sebahagian da­ripada Pakatan Harapan yang menerajui negara, namun kejayaan Pas di dua ne­geri iaitu Terengganu dan Kelantan, memperoleh sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 18 ahli Parlimen dengan sokongan lebih dua juta pengundi bukanlah angka yang kecil. Maka langkah terbaik ialah menjadikan Pas rakan dialog di negeri dan Persekutuan,” katanya.

Katanya lagi, kini seluruh rakyat mengharapkan semua parti politik bergerak ke hadapan bagi menjamin segala janji dan manifesto kerajaan dilaksanakan.

“Budaya politik konflik, fitnah dan bertembung perlu ditinggalkan dan hanya melahirkan sikap bosan dan menyampah dalam kalangan rakyat.

“Peranan Pas sebagai rakan dialog dan juga pembangkang yang berkesan pastinya adalah situa­si menang-menang untuk rakyat dan Kerajaan Persekutuan yang ditunjangi Pakatan Harapan,” katanya.