Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya bagaimanapun tetap dengan pendirian bahawa segala tuduhan mengenai pembiayaan daripada pihak lain adalah andaian dan fitnah semata-mata.

Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, fitnah sedemikian hanyalah cubaan untuk memburukkan suasana memandangkan UMNO sudah tidak mendapat tempat lagi dari segi politik.

"Kalaulah (betul) UMNO bagi, Pas sudah jadi kaya raya, sedangkan kita parti yang sederhana, kita tidak pernah menerima bantuan pihak lain.

"Kita berusaha sendiri mencari dana khususnya dari bantuan dan sumbangan penyokong, pihak yang menuduh boleh kata duit datang dari mana sahaja," katanya selepas merasmikan Ekspo Tani dan Hijau negeri 2018 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu yang membuat laporan polis pada Ahad lalu mendesak siasatan segera selepas tersebarnya salinan transaksi kononnya UMNO telah memindahkan sejumlah RM2.5 juta kepada Pas dengan sumber wang itu kemungkinan daripada dana 1MDB yang diseleweng.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim​​​​​ dilaporkan berkata, pihaknya perlu melihat laporan itu sama ada mempunyai unsur rasuah, jenayah biasa atau jenayah komersial. - UTUSAN ONLINE