PENOLONG Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Ir. Hadi Amat.
PENOLONG Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Ir. Hadi Amat.

Menurut Penolong Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Ir. Hadi Amat, beliau berharap semangat federalisme tersebut dihormati seterusnya bersama-sama membina negara dan negeri ini.

Katanya,meskipun tewas di kesemua kerusi ditandingi di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), mereka tetap akan meneruskan perjuangan dalam membawa agenda Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

“Berteraskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang bersandarkan pada politik solusi, fakta dan hujah.

“Antaranya politik bukan berdasarkan persepsi namun realiti dalam era baharu yang lebih matang,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Pas Sarawak bersama media di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Pas Sarawak, Zulkifli Ramzi; Ketua Pemudanya, Arifirazul Paijo dan Ketua Penerangan, Muhammad Afiq Mohd. Khazar.

Majlis itu bertujuan meraikan pengamal media Sarawak yang bertungkus-lumus bertugas dalam PRU14 disamping pertemuan mesra Pas bersama mereka.

Sementara itu, Muhammad Afiq menggesa supaya kerajaan Persekutuan menubuhkan jawatankuasa khas bagi membangunkan pendidikan di semua peringkat di Sarawak.

“Selain itu, jawatankuasa khas juga diperlukan bagi infrastruktur asas termasuk bekalan air dan elektrik di negeri ini.

“Beliau juga berharap media akan lebih terbuka dalam memberi ruang kepada Pas bersuara dan memberi pandangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Arifirazul memberitahu, semua parti politik diseru untuk berhenti bermain politik berasas tohmahan dan kebencian.

“Marilah kita bersama membina Malaysia demi kebaikan rakyat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE