Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya yakin penubuhan jawatankuasa itu menzahirkan hasrat dan niat murni Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama Islam ke arah mempertingkatkan kedudukan Institusi-institusi yang berkaitan dengan agama Islam di negara ini.

Beliau berkata, ini termasuk institusi kehakiman dan perundangan syariah yang amat perlu diperkasakan dalam semua aspek.

“Pas turut percaya Jawatankuasa ini akan mengambil segala inisiatif termasuk mengadakan konsultasi dan ‘hubungan’ dengan semua pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk Pas.

“Langkah ini amat penting bagi merumuskan suatu formula terbaik sekaligus mengembalikan kedudukan Islam di tempatnya yang sewajarnya selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Pas seterusnya berharap agar Jawatankuasa ini akan benar-benar dapat berperanan dengan sebaik-baiknya. - UTUSAN ONLINE