Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, keputusan itu bagi memberi ruang kepada muka baharu bertanding di kerusi tersebut yang menjadi satu-satunya kerusi DUN milik Pas di negeri ini.

Menurutnya, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Majlis Syura Ulama yang bersidang bagi menetapkan calon Pas untuk pilihan raya umum tersebut.

“Salleh (Datuk) masih ahli Pas, namun kita bersetuju untuk merehatkan beliau pada pilihan raya umum akan datang selepas mengambil kira peluang yang diberikan untuk mewakili Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita juga mahu muka baharu yang akan mewakili Pas dan berharap agenda membawa suara Islam di DUN akan diteruskan oleh orang lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Dialog Presiden Pas bersama Badan Bukan Kerajaan India yang dihadiri Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE