Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari, di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, di sini, hari ini.Gambar : Wahidin Salim Pemberita : Asma Hanim Mahmood AHMAD FADHLI.

Naib Ketua Dewan Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari (gambar) berkata, tindakan pembelaan DAP itu juga merupakan modal kepada provokasi tipikal parti tersebut yang sering kali membayangi aktiviti seumpama itu.

Pada masa sama, kata beliau, parti dalam Pakatan Harapan dituntut menyatakan pendirian dalam isu berkenaan kerana tindakan berdiam diri bererti mereka bersetuju dan bersekongkol dengan DAP sekali gus mengesahkan bahawa DAP adalah ketua sebenar gabungan parti pembangkang itu apabila segala tindakannya tidak berani disanggah sama sekali.

“(Justeru) kami menggesa kerajaan membatalkan atau menetapkan kawalan tegas terhadap penganjurannya agar tidak sedemikian dan membesar di masa depan.

“Selaku negara yang meletakkan Islam sebagai agama dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Malaysia tidak seharusnya menodai kesucian tersebut de­ngan kebebasan sebegitu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

BBF17 merupakan acara tahunan sejak 2012 itu diuar-uarkan sebagai The Biggest Celebration of the Craft Beer Revolution in Malaysia.

Pesta arak itu bukan sahaja dipromosikan melalui iklan secara terbuka, malah dihebahkan bakal menyediakan hidangan 250 jenis arak keluaran 43 syarikat dari 12 negara dengan sasaran penyertaan 6,000 pengunjung.

Apatah lagi, ia akan diadakan di premis awam di pusat beli-belah terkenal di Dutamas, Kuala Lumpur seolah-olah menjadikan Malaysia sebagai penganjur utama apabila lokasi di ibu negara dipilih sebagai tumpuan bagi program sedemikian.

Ahmad Fadhli berkata, walaupun meminum arak menjadi hak golongan bukan Islam yang menjadi sebahagian rakyat negara ini, namun menjadikannya sebagai satu penganjuran pesta ke tahap festival tidak seharusnya berlaku di negara ini.

Malah, katanya, ia langsung tidak mencerminkan realiti budaya negara ini sekalipun di rantau ini.

“Dalam fakta yang jelas di seluruh dunia, kebanyakan negara dan masyarakat abad ini semakin sedar daripada pelbagai akibat buruk yang timbul dan tercetus akibat meminum arak atau aktiviti berkaitannya.

“Ia menyumbang kepada banyak tragedi mutakhir ini sehingga mewujudkan pelbagai kempen kesedaran untuk mengehadkan dan menghindarinya daripada menjadi rutin dalam ketamadunan. Mengapa kita pula harus berundur ke belakang menjauhi nilai semakin positif ini?,” katanya.