Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Pas Permatang Pauh sah 'berpisah' dengan PKR

OMAR HASSAN, MOHD. KHAIRUDDIN
OMAR HASSAN, MOHD. KHAIRUDDIN

PERMATANG PAUH 19 Mac - Selepas Dewan Pemuda Pas Tumpat, hari ini, Pas kawasan Permatang Pauh pula mene­gaskan pintu rundingan untuk kembali menjalinkan tahaluf siyasi dengan PKR sudah tertutup.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata, ini kerana pihaknya sudah memberi masa mencukupi kepada PKR namun sehingga kini, parti berkenaan tetap bekerjasama de­ngan DAP dan PAN menyerang Pas.

Malah, tambah beliau, PKR juga mengkhianati mereka ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Su­ngai Besar sebelum ini.

Sehubungan itu, jelas beliau, Pas perlu membuat pendirian tegas dengan memutuskan hubu­ngan kerana kerjasama dengan PKR di Permatang Pauh hanya memudaratkan parti tersebut.

“PKR sewenang-wenangnya menggunakan ahli Pas untuk kepentingan politik mereka tanpa perbincangan terlebih dahulu malah lebih membimbangkan apabila terdapat aduan mereka memujuk ahli kami keluar parti dan sertai PKR dengan dijanjikan jawatan dalam Kerajaan DAP Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Tahunan Pas Kawasan Permatang Pauh di sini, hari ini yang dirasmikan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Yang turut hadir, Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Sebelum ini Dewan Pemuda Pas Tumpat juga menyatakan pendirian mereka memutuskan kerjasama dengan PKR.

Dijangkakan Pas di beberapa kawasan lagi akan membuat ke­putusan yang sama.

Pada masa sama, Omar menjelaskan, sikap Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang keberatan untuk memberi sokongan kepada Rang Undang-Undang 355 juga menjadi punca mereka tidak dapat meneruskan kerjasama de­ngan parti itu pada masa hadapan.

Katanya, alasan Dr. Wan Azizah kononnya beliau kurang jelas tentang perkara tersebut tidak dapat diterima.

“Ini kerana kami telah membuat penerangan kepada Dewan Perhimpunan Penyokong Pas yang ahlinya bukan Islam dan mereka memahami malah membantu menerangkan kepada akar umbi bukan Islam, jadi mengapa Wan Azizah begitu sukar untuk menerimanya," kata beliau.

Berikutan perkembangan itu kata Omar, Pas kini akan menun­tut hak mereka di Permatang Pauh termasuk meletakkan calon di kerusi Parlimen serta tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya.

“Kami tidak gentar malahan istiqamah dengan perjuangan parti kerana percaya lebih 30 cawa­ngan Pas bersama 5,000 ahli parti berdaftar di sini akan terus ber­usaha dan menegakkan prinsip parti,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Khairud­din berkata, tindakan Pas kawasan Permatang Pauh memutuskan hubungan dengan PKR adalah keputusan yang mewakili ahli akar umbi parti berkenaan yang peka dengan perjuangan Pas.

“Malah, terdapat lima hingga enam Pas kawasan lain di seluruh negara setakat ini juga membuat keputusan sama termasuk dijangka Pas kawasan Kuala Nerus yang akan bermesyuarat minggu hadapan,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain