Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, permainan DAP sangat licik serta halus termasuk menggunakan proksi mereka dalam Pas iaitu golongan Anwarinas untuk menguasai dan melemahkan parti Islam tersebut.

“Ini sudah menjadi perjuangan DAP untuk memecahbelahkan permuafakatan orang Melayu di negara ini. Ini agenda sebenar mereka dalam meneruskan perjuangannya walaupun sebelum ini menafikan DAP sebuah parti perkauman.

“Untuk itu Pas perlu berani dan tegas berdepan dengan segala tindak-tanduk DAP selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Karnival Semarak Ramadan Bukit Kangkar 2015 di Masjid Bukit Kangkar dekat sini hari ini.

Pada Muktamar Tahunan Pas Kali ke-61 baru-baru ini, Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa bahas dan berikutan itu Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng mula menyerang parti Islam itu.

Hamim berkata, DAP bijak mengambil kesempatan dan memanipulasi dalam keadaan Pas berhadapan dengan kumpulan ulama dan Anwarinas yang bertembung sesama sendiri.

Terdahulu ketika berucap, beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, belia perlu memainkan peranan mereka dengan sebaik-baiknya dalam mendepani cabaran kehidupan yang serba mencabar pada masa kini.

“Belia terutamanya anak muda perlu mempunyai cita-cita besar dalam membina keupayaan diri pada tahap tinggi dengan cara menguasai kemahiran yang pelbagai untuk berhadapan dengan perubahan iklim dunia.

“Ini kerana pengaruh pemain ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat sangat mempengaruhi kehidupan rakyat, bukan sahaja di negara ini tetapi juga negara lain,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ledang.