Mohd. Shukri Ramli
Mohd. Shukri Ramli

Pesuruhjayanya, Mohd. Shukri Ramli berkata, setakat ini, pihaknya tidak nampak wujud jalan penyelesaian antara kedua-dua belah pihak, malah kelihatan semakin meruncing.

Menurutnya, tindakan terbaharu Barisan Nasional (BN) negeri menghantar 11 nama calon Menteri Besar adalah tidak wajar kerana Datuk Seri Azlan Man telah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk menjawat jawatan itu.

“Oleh sebab itu, Pas Perlis mencadangkan supaya diadakan kerajaan perpaduan demi masa depan negeri dan rakyat keseluruhannya.

“Pas Perlis tidak menuntut sebarang jawatan di dalam kerajaan negeri dan menasihatkan PKR supaya tidak juga menuntut jawatan Menteri Besar kerana sudah diperkenankan Raja Perlis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, dalam hal ini, perkara yang lebih penting adalah menyelesaikan kemelut politik ini secepat mungkin supaya kerajaan negeri dapat dibentuk seterusnya berkhidmat kepada rakyat.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, kesemua sembilan ADUN BN tidak menghadirinya.

Pada masa sama, Azlan yang juga ADUN Bintong tersebut dipecat keahliannya.

Perkara itu diumumkan oleh Shahidan yang mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu negara bersama sembilan wakil rakyat daripada BN.

Sehingga kini, kesemua sembilan ADUN BN itu dikatakan sebulat suara menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin tetapi enggan menyatakan pendirian menyokong pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Terbaharu, BN negeri akan mempersembahkan nama 11 orang wakil rakyat parti itu sebagai calon Menteri Besar yang baharu semasa menghadap Tuanku Syed Sirajuddin yang dijangka minggu depan.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). - UTUSAN ONLINE