Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, isu itu dibangkitkan parti tersebut di sepanjang enam edisi pilihan raya umum (PRU) sejak 1985 sehingga 2013.

Katanya, isu tersebut kembali menjadi panas selepas kegagalan Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab soalan berkaitan isu Memali semasa program Nothing to Hide 2.0, baru-baru ini.

“Walaupun Pas hanya mengulas berdasarkan program Nothing to Hide 2.0 tetapi kita telah menuntut agar satu siasatan telus dijalankan.

“Kita menolak pembentangan kertas putih di Parlimen berkaitan isu Memali, disebabkan ia disediakan oleh pihak kerajaan (di bawah pimpinan Dr. Mahathir) yang terlibat dalam insiden itu.

“Maka sebab itu, Pas sudah memutuskan agar RCI Memali ini disegerakan penubuhannya. Kita harap tiada pihak yang kelam-kabut kerana mengatakan siasatan ini (kononnya) akan kena pada ‘batang hidung’ Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ceramah umum pilihan raya - penjelasan isu-isu semasa di Balai Islam Madrasah Addiniah Al-Islamiah (MADI) Jejawi di sini semalam. - UTUSAN ONLINE