ABDUL HADI AWANG

Beliau berkata, senarai nama calon itu yang dikemukakan Pas negeri telah diluluskan Maj­lis Syura Ulama tiga minggu lepas.

“Mungkin ramai (calon) muka baharu sebab (calon) lama dah berusia. Kami juga akan kemukakan ramai calon muda termasuk wanita dan bukan Islam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) India di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini Pas memutuskan untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen.

“Mungkin banyak lagi (kerusi). Kita akan bertanding di kawasan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan bertanding,” katanya.

Abdul Hadi berkata, sehingga kini Pas telah mengumpulkan puluhan badan bukan kerajaan dan tiga parti politik iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) di bawah Gagasan Sejahtera.

Ditanya mengenai kerusi yang bakal ditandingi Pas di Pulau Pinang, Abdul Hadi berkata, pihaknya akan melihat kewajaran dan kekuatan parti itu di kawasan-kawasan tertentu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof yang turut hadir dalam program itu, berkata nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man tidak disenaraikan sebagai calon Pas Pulau Pinang dalam PRU-14.

“Kita merehatkan dia daripada bertanding dalam PRU-14. Sudah menjadi amalan kepada kita mana-mana (nama calon) kita ang­kat kepada Majlis Syura Ulama itulah yang dipilih. Jadi, nama dia kita tak ang­katlah sebab kita tak memilih dia untuk bertanding,” katanya semasa ditanya mengenai kedudukan Mohd. Salleh dalam parti itu.

Bagaimanapun, katanya, wakil rakyat tunggal Pas di Pulau Pinang itu masih kekal sebagai ahli Pas.

Mohd. Salleh ketika dihubungi berkata, beliau akan terus bersama rakyat dan me­laksanakan kebajikan mengikut kemampuannya. – BERNAMA