Yang Dipertuanya, Yahaya Ali berkata, sehingga kini terdapat 97 cawangan Pas di kawasan itu di samping turut memiliki pelbagai perancangan dan aset seperti pusat khidmat masyarakat, Dewan Tok Guru, Maahad Tahfiz dan sekolah Al-Quran.

Beliau yang merupakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata, pertambahan cawangan itu susulan tiada isu dalaman yang boleh melemahkan parti bahkan, kepemimpinan kawasan sentiasa mengelak daripada wujudnya sebarang politik dalaman.

“Semua jentera Pas khususnya ahli-ahli di peringkat cawangan diingatkan supaya sentiasa muhasabah diri dengan bekerja lebih keras bagi memastikan Pas terus kekal memerintah negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Pas berjaya membentuk kerajaan negeri dengan sumbangan lima kerusi daripada Pas Kawasan Marang termasuk di Parlimen di samping berjaya merampas semula kerusi DUN Pengkalan Berangan,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pas Marang yang dirasmikan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad di Dewan Majlis Daerah Marang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Pas Marang, Mohd. Nor Hamzah; Naib Yang Dipertua Pas kawasan itu, Ariffin Deraman, Ketua Dewan Pemudanya, Yusuf Abdul Hadi dan Ketua Dewan Muslimatnya, Zarani Othman.

Yahaya memberitahu, Pas tidak mahu menjadi kerajaan sepenggal di negeri ini sebaliknya mahu pentadbiran itu dikekalkan dalam tempoh yang lama.

“Saya berpendapat, apabila menjadi kerajaan parti perlu menjadi lebih kuat dalam erti kata sebagai pemerintah dan tidak boleh dikesampingkan di mana kita perlu membantu kerajaan dan tidak boleh bergantung

semata-mata kepada jentera kerajaan.

“Saya masih ingat dahulu, apabila jentera kita tidak terlalu kuat membolehkan pihak lawan boleh memasukkan pengundi baharu di kawasan kubu kita hanya kerana kealpaan sendiri. - UTUSAN ONLINE