Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan, pihaknya memandang serius tindakan akhbar itu yang menerbitkan karikatur tersebut Sabtu lalu.

Katanya, gambaran yang di­terjemahkan berkaitan Rang Undang-undang Mah­kamah Sya­riah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 itu bukan sahaja menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, malah satu penghinaan terhadap umat Islam.

“Pas telah me­lantik peguam dan mengarahkan tindakan undang-undang diambil segera.

“Pas juga menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula permit penerbitan akhbar berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya,” kata­nya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Bagaimanapun, ­Na­nyang Siang Pau telah mengemukakan permohonan maaf kepada Abdul Hadi dan Pandikar Amin berhubung penyiaran kartun yang dianggap menghina kedua-dua pemimpin itu dan mengakui penyiarannya tidak wajar untuk tatapan umum.

Dalam pada itu pengamal undang-undang, Datuk Zulkifli Noordin berpendapat, KDN perlu mengambil tindakan tegas terhadap akhbar berkenaan termasuk akhbar berbahasa Inggeris, The Sun kerana turut membuat laporan mengelirukan berhubung RUU 355.

Katanya, sikap dan tindakan kedua-dua akhbar berkenaan bukan sahaja tidak membantu pro­ses pembangunan negara, malah merosakkan hubungan antara kaum dan agama serta satu penghinaan kepada institusi Parlimen dan sistem demokrasi.