MOHD KHAIRUDDIN

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khai­ruddin Aman Razali berkata, laporan polis itu akan dibuat oleh Dewan Pemuda kerana tuduhan dilemparkan Ambiga yang pemimpin kanan Pas menerima wang sebanyak RM90 juta telah menjejaskan maruah parti tersebut.

“Mungkin akan ada tindakan yang akan dibuat oleh Dewan Pemuda Pas tetapi saya tidak dapat pastikan lagi, kemungkinan laporan polis akan dibuat.

“Sebab ini melibatkan maruah Pas. Begitu lama Sarawak Report membuat dakwaan, akhirnya tiba-tiba kelmarin timbul sumbernya iaitu Ambiga teta­­pi persoalannya, apa pula sumber yang digunakan Ambiga menuduh Pas begitu?,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pe­ngasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang menamakan Ambiga sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan pemimpin Pas menerima wang daripada Perdana Menteri berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kelmarin.

Mohd. Khairuddin berkata, Pas menyifatkan kenyataan yang dikemukakan Brown kepada mahkamah sebagai ‘sampah’.

“Kalau baca semua kenyataan yang dihantar kepada mahkamah, its rubbish. Itu umpama orang yang tulis artikel tepi jalan, tiada bukti yang boleh dikemukakan kepada mahkamah.

“Maklumat yang begitu banyak salah fakta dan terlalu umum. Bagi saya, itu bukan gaya seorang yang jujur. Barangkali dia (Ambiga) mende­ngar daripada orang lain juga. Jadi dia perlu ceritakan siapa orangnya. Kita nak tahu dari mana sumbernya sebab ia merosakkan maruah kita,” tegas Khairuddin.

Kata Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, tuduhan yang dilemparkan Ambiga bukan kecil kerana Pas sejak dahulu bergantung kepada polisi parti iaitu menerima sumbangan daripada ahli semata-mata.

Sementara itu, Ambiga ketika dihubungi enggan mengulas.