Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah secara sinis berkata, partinya lebih kuat berbading Bersatu kerana menang di 18 kerusi Parlimen serta menawan dua buah negeri walaupun berjuang bersendirian.

“Kalau banding Pas dengan Bersatu, jauh Pas lebih kuat sebab dengan bersendirian pun dapat 18 kerusi, Bersatu berpakat dengan PH pun dapat 11 kerusi sahaja, sekarang apabila ambil (Ahli Parlimen) UMNO baru banyak sedikit.

“Kalau tidak berpakat dengan PH, Bersatu tidak akan dapat menjadi kerajaan sampai bila-bila, Pas dari dulu orang kata lemah tetapi kita kuasai dua negeri dan kerusi Parlimen pun kita lebih banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Letak Kerja dan Pelancaran Logo Pusat Belia Kelantan di Medan Usahawan Kota Bharu di sini hari ini.

Semalam Presi­den Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pas akan menjadi pembangkang selama-lamanya dan cemburu serta iri hati dengan kejayaan PH.

Ini ekoran daripada kenyata­an Mohd. Amar sebelum ini yang meramalkan Kerajaan PH akan hanya mampu bertahan selama sepenggal sahaja.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, Pas lebih rela kekal sebagai pembangkang daripada menjadi kerajaan yang tidak menunaikan janji.

“Kita (Pas) yakin masa depan perjuangan kita sebab hari ini orang melihat kelemahan dan keburukan kerajaan BN sebab itu rakyat tukar.

“Sekarang Allah beri peluang kepada rakyat untuk menilai PH dan UMNO, orang terpaksa tunggu 60 tahun baru boleh buang, PH baru memerintah enam bulan orang sudah cakap macam-macam sebab antara­nya janji tidak ditepati,” kata­nya.

Beliau turut mengulangi ramalannya bahawa PH tidak mampu bertahan lama kerana masalah dalaman yang serius.